Sunday 5 November 2017

Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan InSTAR Terbaik Unit Beruniform Sekolah Tahun 2017

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ( BSMM ) telah bertapak di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi iaitu dengan penubuhan cawangan yang pertama di negeri Sabah pada bulan April 1948. Sejarah badan NGO ini jauh lebih awal melalui usaha pengasasnya iaitu Jean Henry Dunant yang terkesan apabila melihat kesengsaraan mangsa perang di Itali pada Jun 1959. BSMM mendukung tujuh prinsip asasnya yang meliputi kemanusiaan, kesaksamaan, sukarela, bersatu, berkecuali, kesejagatan, dan kebebasan.

Di InSTAR , BSMM antara sembilan unit beruniform yang ditubuhkan semenjak tahun 2003 lagi. Minat para pelajar yang merupakan kategori ahli belia terhadap BSMM semakin bertambah dengan banyaknya aktiviti yang dijalankan di peringkat sekolah, daerah, negeri , kebangsaan dan antarabangsa. Kekangan kewangan menyebabkan penyertaan para ahli dalam pelbagai peringkat aktiviti terpaksa dihadkan kerana setiap penyertaan perlu disediakan peruntukan kewangan yang secukupnya bersumberkan para ahli sendiri dan dibantu oleh PIBG.

Sijil dan plak yang diterima sempena malam anugerah kokurikulum InSTAR

Sebahagian daripada ahli BSMM InSTAR

Pemakaian Pangkat kepada ahli BSMM yang aktif dan menjadi peneraju untuk tahun berikutnya.

Pada tahun 2017 , BSMM InSTAR telah muncul unit beruniform terbaik mengalahkan lapan unit beruniform yang lain berdasarkan merit penyertaan dan pencapaian dalam aktiviti di peringkat negeri dan antarabangsa. Kemenangan dalam pelbagai pertandingan di Perkhemahan BSMM peringkat Negeri Pahang telah meletakkan unit ini sebagai unit terbaik ditambah pula dengan penyertaan di Malaysian Red Crescent International Youth Enlightenment Camp 2017 di Sibu, Sarawak yang disertai 11 buah negara dan semua negeri di Malaysia. Diharapkan BSMM InSTAR akan terus aktif dan menyumbang merit kepada kecemerlangan kokurikulum sekolah ini.

No comments:

Post a Comment