Monday, 6 November 2017

Sukan Golf Semakin Diminati Pelajar SBP Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan

Sukan golf telah diwujudkan di InSTAR berdasarkan bakat yang ada dalam kalangan pelajarnya sebelum mereka melangkah ke sekolah ini. Pihak sekolah melaui PBG telah menyediakan peralatan yang secukupnya untuk mengembangkan bakat para pemain golf InSTAR. Pihak Kelab Golf Diraja Pekan ( KGDP ) dan PPD Pekan sangat membantu perkembangan sukan golf dalam kalangan pelajar di daerah Pekan ini. KGDP sendiri mempunyai Jawatankuasa Pembangunan Golf Remaja yang menganjurkan beberapa siri klinik golf kendalian MGA dan kejohanan untuk mencungkil  bakat-bakat baharu dalam kalangan remaja yang berminat.



Para pemain golf InSTAR 2017

Flight Bawah 15 semasa MSSD Pekan

Hanya dua golfer InSTAR melepasi miss cut hari pertama.
Amir Fakhrul muncul juara bagi kategori L15.

Diharapkan lebih ramai pelajar akan menceburi sukan ini supaya kelab gof ini akan terus berkembang. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak PIBG kerana menyumbang peralatan dan membiayai para pemain menghadiri klinik golf dan menyertai beberapa kejohanan yang telah berlangsung pada tahun ini.


Sunday, 5 November 2017

Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan InSTAR Terbaik Unit Beruniform Sekolah Tahun 2017

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ( BSMM ) telah bertapak di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi iaitu dengan penubuhan cawangan yang pertama di negeri Sabah pada bulan April 1948. Sejarah badan NGO ini jauh lebih awal melalui usaha pengasasnya iaitu Jean Henry Dunant yang terkesan apabila melihat kesengsaraan mangsa perang di Itali pada Jun 1959. BSMM mendukung tujuh prinsip asasnya yang meliputi kemanusiaan, kesaksamaan, sukarela, bersatu, berkecuali, kesejagatan, dan kebebasan.

Di InSTAR , BSMM antara sembilan unit beruniform yang ditubuhkan semenjak tahun 2003 lagi. Minat para pelajar yang merupakan kategori ahli belia terhadap BSMM semakin bertambah dengan banyaknya aktiviti yang dijalankan di peringkat sekolah, daerah, negeri , kebangsaan dan antarabangsa. Kekangan kewangan menyebabkan penyertaan para ahli dalam pelbagai peringkat aktiviti terpaksa dihadkan kerana setiap penyertaan perlu disediakan peruntukan kewangan yang secukupnya bersumberkan para ahli sendiri dan dibantu oleh PIBG.

Sijil dan plak yang diterima sempena malam anugerah kokurikulum InSTAR

Sebahagian daripada ahli BSMM InSTAR

Pemakaian Pangkat kepada ahli BSMM yang aktif dan menjadi peneraju untuk tahun berikutnya.

Pada tahun 2017 , BSMM InSTAR telah muncul unit beruniform terbaik mengalahkan lapan unit beruniform yang lain berdasarkan merit penyertaan dan pencapaian dalam aktiviti di peringkat negeri dan antarabangsa. Kemenangan dalam pelbagai pertandingan di Perkhemahan BSMM peringkat Negeri Pahang telah meletakkan unit ini sebagai unit terbaik ditambah pula dengan penyertaan di Malaysian Red Crescent International Youth Enlightenment Camp 2017 di Sibu, Sarawak yang disertai 11 buah negara dan semua negeri di Malaysia. Diharapkan BSMM InSTAR akan terus aktif dan menyumbang merit kepada kecemerlangan kokurikulum sekolah ini.

Sunday, 8 October 2017

Tabung Tengah Ekzos Exora CFE "Crack' Pulak...Terbang RM230

Semasa menggunakan kereta sedan dulu pernah juga melakukan modifikasi pada ekzos supaya bunyi sport sikit tetapi tidak bertahan lama kerana bunyi berdengung yang kuat sehingga ke dalam kereta. Lagi satu, dari jauh kedatangan kita sudah diketahui orang kerana bunyi bising ekzos kereta kita tersebut. Dari segi prestasi enjin tidak meningkatpun cuma bunyi bising sahaja yang lebih dan yang pastinya berjaya meningkatkan penggunaan petrol. Kalau anda mementingkan prestasi enjin cubalah dapatkan nasihat pakar dan gunakan sistem ekzos yang betul kerana modifikasi pada bahagian tertentu sahaja tidak akan menguntungkan anda.


Entri kali ini saya hendak tunjukkan keadaan tabung tengah ekzos Exora saya yang sudah retak dan berlubang di sekeliling tabung tersebut. Masalah ini agak ketara pada model Exora dan Suprima kata pemilik bengkel tersebut. Mungkin dua model ini yang banyak datang ke bengkel beliau agaknya oleh sebab itu dia menegaskan demikian. Berbanding model Proton lain yang pernah saya gunakan, Exora inilah yang bermasalah dari segi tabung tengah walaupun baru berusia lima tahun. Mungkinkah juga akibat penggunaan minyak Ron95? Pemilik bengkel mencadangkan dicampur minyak Ron95 dan Ron97 semasa mengisi minyak pada masa akan datang. Sebagai contoh , jika kita hendak mengisi minyak sebanyak RM100 maka kita campurkan Ron95 sebanyak RM60 dan bakinya Ron97 sebanyak RM40. Tidak tahulah betul atau tidak, boleh sahaja mencuba. Keseluruhan kos menggantikan tabung tengah ini RM230. 

##Bayo je la..nok guanekai . 


Kesan retak jelas kelihatan pada pangkal tabung tengah



Tabung tengah sudah ditanggalkan


Inilah tabung tengah yang sudah ditanggalkan


Kerja mengimpal paip sebelum sambungan dibuat


Sudah siap...tiada lagi bunyi ekzos bocor 

Sunday, 17 September 2017

Penyusunan Tempat Duduk Tetamu Kehormat, Tetamu Khas dan Tuan Rumah dalam Majlis

Entri kali ini akan menerangkan aplikasi protokol dalam menyusun dan menentukan kedudukan kerusi VVIP dan VIP dalam sesuatu majlis yang dianjurkan oleh tuan rumah. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak JK Penganjur kerana tempat duduk yang dikhaskan itu menunjukkan perhormatan terhadap tetamu yang diundang dan mestilah sesuai dengan statusnyanya dari segi kekananan, jawatan , susunan keutamaan persekuatuan, negeri, daerah atau agensi berkenaan. Ada penganjur majlis yang berpendapat bilangan kerusi di atas pentas atau di hadapan dewan mestilah ganjil iaitu tidak boleh genap. Sebenarnya , boleh sahaja bilangan kerusi itu genap atau ganjil  kerana ada aplikasi protokol untuk menyusun VVIP dan VIP iaitu jika bilangan VIP itu ganjil maka susunan keutamaan akan bermula dari sebelah kanan VVIP dan jika bilangan VIP genap maka susunan keutamaan akan bermula dari sebelah kiri VVIP. Walaupun begitu, susunan genap ini tidak digalakkan kerana hadirin akan sukar mengenal pasti VVIP dalam majlis tersebut. Sila teliti lakaran susunan tempat duduk di bawah yang bersumberkan http://kenangansilam-ita.blogspot.my/2013/09/pengurusan-majlis-rasmi.html  untuk pemahaman yang lebih jelas.

1.SUSUNAN KERUSI BAGI BILANGAN TETAMU YANG GANJIL

- Kekananan bermula dari sebelah kanan  Tetamu Khas ( VVIP )


Situasi 1.
No.1: ADUN
No.2: Pengetua ( Selaku Tuan Rumah )
No.3: YDP PIBG

Situasi 2.
No.1: ADUN
No.2: PPD
No.3: Pengetua

* Kerusi Pengetua tidak diletakkan di sebelah kanan ADUN kerana ketua kepada Pengetua iaitu PPD turut hadir.



2.SUSUNAN KERUSI BAGI BILANGAN TETAMU YANG GENAP

- Kekananan bermula dari sebelah kiri Tetamu Khas ( VVIP )


Situasi 1.
No.1 : ADUN
No.2 : Pengetua
No.3 : Penghulu
No.4 : YDP PIBG

Situasi 2.
No.1 : ADUN
No.2 : JPN / PPD
No.3 : Pengetua
No.4 : YDP PIBG

* Kerusi Pengetua tidak diletakkan di sebelah kiri ADUN kerana ketua kepada Pengetua iaitu JPN / PPD turut hadir.

Semoga dengan paparan kali ini dapat melancarkan majlis yang kita anjurkan . Sebahagian daripada maklumat dalam entri kali ini dipetik daripada blog Catatan Jemari..Anak Pantai dan juga daripada buku Aplikasi Protokol dalam Pengurusan & Pelaksanaan Majlis di Sekolah yang dikarang oleh Encik Ramlan Abdul Wahab terbitan Er-Nur Sdn Bhd. Saya cadangkan buku ini dimiliki oleh pegawai protokol di sekolah-sekolah atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami bidang ini. 

Thursday, 14 September 2017

Protokol Susunan Gambar Pemimpin Negara

Kerap kali kita melihat gambar pembesar negara yang dipamerkan di dalam bilik gerakan, di bilik mesyuarat atau di dalam dewan tidak menepati formaliti protokol. Sebenarnya kesilapan ini dapat diatasi jika pihak berkenaan merujuk pihak yang berkaitan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau  meneliti buku-buku aplikasi protokol yang terdapat di pasaran. Sebagai panduan , entri kali ini menunjukkan susunan gambar yang betul bagi pembesar negara kita. Susunan gambar ini saya screenshot daripada modul Protokol dan Etiket Sosial yang ditulis oleh En Aznan Bin Abdul , IAB.

1. Susunan melibatkan dua gambar.





2. Susunan Melibatkan Enam Gambar ( Negeri yang mempunyai Sultan ) 





3. Susunan yang Mempunyai Enam Gambar ( Negeri yang mempunyai TYT )

 




Tuesday, 5 September 2017

Petua untuk Menghasilkan Tulisan yang Cantik

Tulisan yang cantik dan kemas sangat penting supaya maklumat atau idea yang hendak disampaikan dapat difahami sepenuhnya oleh pembaca atau dalam konteks peperiksaan tulisan yang cantik sangat mempengaruhi pemeriksa untuk memahami wacana dalam skrip jawapan para pelajar.

Berikut beberapa petua atau kaedah untuk memastikan tulisan anda cantik dan kemas.

1. Bentuk huruf yang dihasilkan mesti jelas dan tidak mengelirukan pembaca.

2. Saiz huruf mestilah seragam dan tekal sepanjang proses menulis dilakukan.

3. Kecondongan tulisan juga perlu diperhatikan sama ada ke kiri, ke kanan atau tegak sahaja. Kita tidak mahu kecondongan tulisan kelihatan seperti pokok kelapa di tepi pantai. Kecondongan yang seragam terpapar indah seperti tiang elektrik atau tiang pagar yang mengelilingi kebun penduduk kampung.

4. Jarak antara huruf dalam perkataan mestilah sesuai supaya perkataan yang ditulis tidak dianggap dua atau lebih.

5. Jarak antara perkataan juga mestilah sesuai agar tulisan anda kekal kemas dan tersusun.

6. Pastikan tangan anda menyentuh permukaan meja atau tempat menulis supaya gerakan tangan anda lebih terkawal semasa menulis.

7. Sebelum menulis sesuatu, para pelajar sewajarnya telah merancang perkara yang hendak disampaikan dengan membina kerangka penulisan mereka. Pelajar boleh menggunakan pelbagai teknik menjana idea yang telah diketahui seperti peta minda, peta pemikiran dalam i-Think, heuristik, pepohon idea, dan sebagainya.

8. Jika saiz tulisan pelajar agak kecil , mereka boleh memilih saiz mata pen yang sesuai . Sebagai contoh jika saiz yang digunakan 0.5 maka mereka perlu menukar saiz yang lebih besar iaitu 0.7 atau 1.0.

Semoga petua yang dikongsikan dapat memberi manfaat kepada anda yang berdepan dengan kesukaran menghasilkan tulisan yang cantik dan kemas.

Wednesday, 26 July 2017

Mudahnya untuk Cemerlang dalam Karangan SPM

Entri kali ini berkisar tentang aspek penulisan yang berkesan untuk mendapat markah yang cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu peringkat SPM. Semoga tip yang akan dikongsikan dapat melonjakkan gred pelajar kepada tahap yang tertinggi. Sebenarnya untuk menulis tentang sesuatu memerlukan rasa atau keinginan untuk berkongsi maklumat atau berhujah terhadap tema atau isu yang diberikan. Keinginan tersebut pula sangat dipengaruhi oleh jumlah pengetahuan yang menghuni leksikon ( kamus mental ) kita. Sebagai contoh, apabila disebut perkataan rendang, kita akan segera terbayang masakan tradisional Melayu yang menjadi menu utama pada pagi raya. Hal ini dikatakan demikian kerana maklumat berkaitan rendang sudah tersedia dalam leksikon kita. Begitulah halnya apabila kita hendak menulis tentang sesuatu, kita perlu memiliki pengetahuan yang mendalam tentang aspek tersebut supaya kita dapat mengemukakan isi-isi yang relevan dan kukuh. Kriteria isi yang kukuh bermaksud kita dapat memberikan isi yang paling bertepatan dengan konteks soalan. 


Antara tip untuk cemerlang dalam karangan :

1. Mengkaji trend tema soalan kerana isu semasa sentiasa menjadi pilihan untuk diutarakan dalam kertas soalan. Pelajar sewajarnya sudah menyediakan folio tema yang mencakupi semua aspek seperti alam sekitar, masalah sosial, perpaduan dan sebagainya. Seterusnya pelajar perlu menimbun maklumat berkaitan tajuk ini dalam leksikon masing-masing.

2. Menganalisis kehendak soalan supaya tidak terkeluar daripada skop yang perlu diulas oleh pelajar. Soalan KBAT memerlukan pelajar menghuraikan kehendak soalan yang berlapis-lapis dan saling terkait. Soalan KBAT biasanya hadir dengan pelbagai aspek yang perlu dijelas secara bersama. Tamsilnya, kehendak soalan yang memerlukan pelajar menerangkan punca dan kesan serta masalah dan cara mengatasi. Konteks soalan juga perlu diteliti dalam berhujah kerana mungkin isi yang dinyatakan tidak kukuh atau lebih malang jika isi tersebut tidak relevan dengan tajuk. Sebagai contoh dalam kes merempit sudah tentu pelakunya golongan remaja atau dewasa bukannya budak sekolah rendah.

3. Penguasaan bahasa yang cemerlang mempunyai korelasi yang positif dengan markah yang cemerlang. Pelajar perlu membina pelbagai jenis ayat kerana variasi ayat ini menghasil pengolahan karangan yang sangat menarik dengan dihiasi kosa kata yang hebat serta disulami ungkapan yang menarik. Aspek ini dapat diasah jika pelajar rajin membaca bahan yang pelbagai. Semasa membaca ,pelajar perlu meneliti ayat-ayat yang digunakan termasuk dapat berkenalan dengan pelbagai kosa kata baharu.

4. Pelajar mesti menguasai teknik membina perengan yang berkesan sama ada perenggan pendahuluan ( pendulu ), isi ataupun penutup. Hal ini bertujuan untuk menghasilkan perenggan yang seimbang dan menyentuh isi secara komprehensif atau holistik. Secara jelasnya , karangan Kertas 1 Bahagian A memerlukan pelajar menulis sehingga dua muka surat penuh dan Bahagian B pula empat muka surat penuh.

5. Sentiasalah merujuk guru untuk menghasilkan skrip jawapan yang cemerlang kerana gurulah yang dapat membimbing pelajar untuk berjaya dan dapat mengesan sebarang kelemahan dalam jawapan pelajar. Hormatilah guru supaya ilmu yang diperoleh sentiasa berkat dan dapat digunakan semasa menjawab soalan SPM nanti. Semoga berjaya dengan cemerlang insya-Allah.