Monday 6 November 2017

Sukan Golf Semakin Diminati Pelajar SBP Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan

Sukan golf telah diwujudkan di InSTAR berdasarkan bakat yang ada dalam kalangan pelajarnya sebelum mereka melangkah ke sekolah ini. Pihak sekolah melalui PIBG telah menyediakan peralatan yang secukupnya untuk mengembangkan bakat para pemain golf InSTAR. Pihak Kelab Golf Diraja Pekan ( KGDP ) dan PPD Pekan sangat membantu perkembangan sukan golf dalam kalangan pelajar di daerah Pekan ini. KGDP sendiri mempunyai Jawatankuasa Pembangunan Golf Remaja yang menganjurkan beberapa siri klinik golf kendalian MGA dan kejohanan untuk mencungkil  bakat-bakat baharu dalam kalangan remaja yang berminat.



Para pemain golf InSTAR 2017

Flight Bawah 15 semasa MSSD Pekan

Hanya dua golfer InSTAR melepasi miss cut hari pertama.
Amir Fakhrul muncul juara bagi kategori L15.

Diharapkan agar lebih ramai pelajar akan menceburi sukan ini supaya kelab golf ini akan terus berkembang. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak PIBG kerana menyumbang peralatan dan membiayai para pemain menghadiri klinik golf dan menyertai beberapa kejohanan yang telah berlangsung pada tahun ini.


Sunday 5 November 2017

Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan InSTAR Terbaik Unit Beruniform Sekolah Tahun 2017

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ( BSMM ) telah bertapak di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi iaitu dengan penubuhan cawangan yang pertama di negeri Sabah pada bulan April 1948. Sejarah badan NGO ini jauh lebih awal melalui usaha pengasasnya iaitu Jean Henry Dunant yang terkesan apabila melihat kesengsaraan mangsa perang di Itali pada Jun 1959. BSMM mendukung tujuh prinsip asasnya yang meliputi kemanusiaan, kesaksamaan, sukarela, bersatu, berkecuali, kesejagatan, dan kebebasan.

Di InSTAR , BSMM antara sembilan unit beruniform yang ditubuhkan semenjak tahun 2003 lagi. Minat para pelajar yang merupakan kategori ahli belia terhadap BSMM semakin bertambah dengan banyaknya aktiviti yang dijalankan di peringkat sekolah, daerah, negeri , kebangsaan dan antarabangsa. Kekangan kewangan menyebabkan penyertaan para ahli dalam pelbagai peringkat aktiviti terpaksa dihadkan kerana setiap penyertaan perlu disediakan peruntukan kewangan yang secukupnya bersumberkan para ahli sendiri dan dibantu oleh PIBG.

Sijil dan plak yang diterima sempena malam anugerah kokurikulum InSTAR

Sebahagian daripada ahli BSMM InSTAR

Pemakaian Pangkat kepada ahli BSMM yang aktif dan menjadi peneraju untuk tahun berikutnya.

Pada tahun 2017 , BSMM InSTAR telah muncul unit beruniform terbaik mengalahkan lapan unit beruniform yang lain berdasarkan merit penyertaan dan pencapaian dalam aktiviti di peringkat negeri dan antarabangsa. Kemenangan dalam pelbagai pertandingan di Perkhemahan BSMM peringkat Negeri Pahang telah meletakkan unit ini sebagai unit terbaik ditambah pula dengan penyertaan di Malaysian Red Crescent International Youth Enlightenment Camp 2017 di Sibu, Sarawak yang disertai 11 buah negara dan semua negeri di Malaysia. Diharapkan BSMM InSTAR akan terus aktif dan menyumbang merit kepada kecemerlangan kokurikulum sekolah ini.