Tulisan yang cantik dan kemas sangat penting supaya maklumat atau idea yang hendak disampaikan dapat difahami sepenuhnya oleh pembaca atau dalam konteks peperiksaan tulisan yang cantik sangat mempengaruhi pemeriksa untuk memahami wacana dalam skrip jawapan para pelajar.
Berikut beberapa petua atau kaedah untuk memastikan tulisan anda cantik dan kemas.
1. Bentuk huruf yang dihasilkan mesti jelas dan tidak mengelirukan pembaca.
2. Saiz huruf mestilah seragam dan tekal sepanjang proses menulis dilakukan.
3. Kecondongan tulisan juga perlu diperhatikan sama ada ke kiri, ke kanan atau tegak sahaja. Kita tidak mahu kecondongan tulisan kelihatan seperti pokok kelapa di tepi pantai. Kecondongan yang seragam terpapar indah seperti tiang elektrik atau tiang pagar yang mengelilingi kebun penduduk kampung.
4. Jarak antara huruf dalam perkataan mestilah sesuai supaya perkataan yang ditulis tidak dianggap dua atau lebih.
5. Jarak antara perkataan juga mestilah sesuai agar tulisan anda kekal kemas dan tersusun.
6. Pastikan tangan anda menyentuh permukaan meja atau tempat menulis supaya gerakan tangan anda lebih terkawal semasa menulis.
7. Sebelum menulis sesuatu, para pelajar sewajarnya telah merancang perkara yang hendak disampaikan dengan membina kerangka penulisan mereka. Pelajar boleh menggunakan pelbagai teknik menjana idea yang telah diketahui seperti peta minda, peta pemikiran dalam i-Think, heuristik, pepohon idea, dan sebagainya.
8. Jika saiz tulisan pelajar agak kecil , mereka boleh memilih saiz mata pen yang sesuai . Sebagai contoh jika saiz yang digunakan 0.5 maka mereka perlu menukar saiz yang lebih besar iaitu 0.7 atau 1.0.
Semoga petua yang dikongsikan dapat memberi manfaat kepada anda yang berdepan dengan kesukaran menghasilkan tulisan yang cantik dan kemas.
No comments:
Post a Comment