Wednesday, 26 July 2017

Mudahnya untuk Cemerlang dalam Karangan SPM

Entri kali ini berkisar tentang aspek penulisan yang berkesan untuk mendapat markah yang cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu peringkat SPM. Semoga tip yang akan dikongsikan dapat melonjakkan gred pelajar kepada tahap yang tertinggi. Sebenarnya untuk menulis tentang sesuatu memerlukan rasa atau keinginan untuk berkongsi maklumat atau berhujah terhadap tema atau isu yang diberikan. Keinginan tersebut pula sangat dipengaruhi oleh jumlah pengetahuan yang menghuni leksikon ( kamus mental ) kita. Sebagai contoh, apabila disebut perkataan rendang, kita akan segera terbayang masakan tradisional Melayu yang menjadi menu utama pada pagi raya. Hal ini dikatakan demikian kerana maklumat berkaitan rendang sudah tersedia dalam leksikon kita. Begitulah halnya apabila kita hendak menulis tentang sesuatu, kita perlu memiliki pengetahuan yang mendalam tentang aspek tersebut supaya kita dapat mengemukakan isi-isi yang relevan dan kukuh. Kriteria isi yang kukuh bermaksud kita dapat memberikan isi yang paling bertepatan dengan konteks soalan. 


Antara tip untuk cemerlang dalam karangan :

1. Mengkaji trend tema soalan kerana isu semasa sentiasa menjadi pilihan untuk diutarakan dalam kertas soalan. Pelajar sewajarnya sudah menyediakan folio tema yang mencakupi semua aspek seperti alam sekitar, masalah sosial, perpaduan dan sebagainya. Seterusnya pelajar perlu menimbun maklumat berkaitan tajuk ini dalam leksikon masing-masing.

2. Menganalisis kehendak soalan supaya tidak terkeluar daripada skop yang perlu diulas oleh pelajar. Soalan KBAT memerlukan pelajar menghuraikan kehendak soalan yang berlapis-lapis dan saling terkait. Soalan KBAT biasanya hadir dengan pelbagai aspek yang perlu dijelas secara bersama. Tamsilnya, kehendak soalan yang memerlukan pelajar menerangkan punca dan kesan serta masalah dan cara mengatasi. Konteks soalan juga perlu diteliti dalam berhujah kerana mungkin isi yang dinyatakan tidak kukuh atau lebih malang jika isi tersebut tidak relevan dengan tajuk. Sebagai contoh dalam kes merempit sudah tentu pelakunya golongan remaja atau dewasa bukannya budak sekolah rendah.

3. Penguasaan bahasa yang cemerlang mempunyai korelasi yang positif dengan markah yang cemerlang. Pelajar perlu membina pelbagai jenis ayat kerana variasi ayat ini menghasil pengolahan karangan yang sangat menarik dengan dihiasi kosa kata yang hebat serta disulami ungkapan yang menarik. Aspek ini dapat diasah jika pelajar rajin membaca bahan yang pelbagai. Semasa membaca ,pelajar perlu meneliti ayat-ayat yang digunakan termasuk dapat berkenalan dengan pelbagai kosa kata baharu.

4. Pelajar mesti menguasai teknik membina perengan yang berkesan sama ada perenggan pendahuluan ( pendulu ), isi ataupun penutup. Hal ini bertujuan untuk menghasilkan perenggan yang seimbang dan menyentuh isi secara komprehensif atau holistik. Secara jelasnya , karangan Kertas 1 Bahagian A memerlukan pelajar menulis sehingga dua muka surat penuh dan Bahagian B pula empat muka surat penuh.

5. Sentiasalah merujuk guru untuk menghasilkan skrip jawapan yang cemerlang kerana gurulah yang dapat membimbing pelajar untuk berjaya dan dapat mengesan sebarang kelemahan dalam jawapan pelajar. Hormatilah guru supaya ilmu yang diperoleh sentiasa berkat dan dapat digunakan semasa menjawab soalan SPM nanti. Semoga berjaya dengan cemerlang insya-Allah.