Rumput filipina mudah dijaga dan kurang bermasalah cuma pada tahap awal penanamannya kena kerap disiram supaya cepat menyesuaikan diri dengan kawasan yang baru ditanam. Seelok-eloknya rumput disiram pada awal pagi supaya air tidak cepat tersejat oleh panas cahaya matahari. Pengalaman saya meninggalkan rumput ini selama empat hari tanpa disiram telah menyebabkan rumput-rumput yang nampak segar pada mulanya telah mati.
Rumput filipina cepat membiak di kawasan yang redup atau kurang mendapat cahaya matahari. Jika tidak dipotong maka rumput itu akan tumbuh bertompok-tompok dan kemungkinan menjadi sarang serangga berbisa seperti lipan. Kekerapan rumput dipotong adalah dalam sebulan setengah sekali sudah memadai. Mesin rumput jenis rotary sangat sesuai untuk rumput ini kerana boleh nampak sama ketinggian potongannya. Mesin rumput jenis gendong tidak sesuai dan juga berbahaya untuk digunakan berhampiran dengan rumah kerana batu-batu kecil mungkin boleh memecahkan cermin tingkap rumah dan cermin kereta.